Bila sebut tentang Haji, semua orang tahu betapa pentingnya ibadah ni dalam kehidupan seorang Muslim. Tapi tak semua berpeluang untuk menunaikannya sendiri, sama ada sebab umur, kesihatan, atau mungkin dah meninggal dunia.

Di sinilah Badal Haji memainkan peranan. Tapi korang kena faham, tak semua tawaran Badal Haji yang ada di pasaran tu boleh dipercayai, terutamanya bila harga yang ditawarkan terlalu murah.

Dalam artikel ni, kami akan jelaskan tentang kenapa korang perlu berhati-hati dengan pakej Badal Haji murah, terutama yang di bawah RM5000.

Apa itu Badal Haji?

Badal Haji adalah amalan di mana seseorang menunaikan ibadah Haji bagi pihak orang lain yang tidak mampu menunaikannya sendiri disebabkan oleh usia tua, penyakit, atau dah meninggal dunia. Amalan ni dibenarkan dalam Islam dengan syarat ia dilakukan dengan niat ikhlas dan sempurna.

Kenapa Badal Haji murah jadi masalah besar?

Korang mungkin tertarik dengan pakej Badal Haji yang murah, terutama kalau harga tu jauh lebih rendah dari yang lain. Tapi korang kena tahu, bila sesuatu tu terlalu murah, mesti ada sesuatu yang tak kena.

Kos untuk menunaikan Haji bukanlah murah, jika korang kira dari Malaysia nak ke Mekah & segala penginapan semua memerlukan kos sehingga RM15,000 – RM16, 000 dan bila ada pihak yang menawarkan Badal Haji pada harga dibawah RM5000, korang patut rasa was was dengan pakej yang ditawarkan.

Badal Haji Murah - Ini yang korang perlu tahu
Photo by Shams Alam Ansari

Kos permit Haji: Kenapa Badal Haji bawah RM5000 tak masuk akal

Salah satu faktor utama yang membuatkan Badal Haji murah sukar dipercayai ialah kos permit Haji yang diperlukan. Untuk korang yang belum tahu, kos untuk mendapatkan permit Haji saja adalah RM4800.

Itu baru kos permit, belum masuk lagi kos kos yang lain macam pengangkutan, penginapan, makanan, dan perbelanjaan harian di Mekah. Jadi, macam mana mungkin ada pihak yang boleh menawarkan Badal Haji pada harga yang sangat rendah dari kos permit itu sendiri?

Syarikat yang menawarkan pakej tu sendiri nak makan apa kalau TAK ADA SEDIKIT PUN keuntungan dari pakej yang ditawarkan. Bila korang lihat dari sudut ni, jelas yang tawaran Badal Haji di bawah RM5000 tu tak logik langsung. Sebab tu, Tabung Haji sendiri dah keluarkan amaran untuk korang berhati-hati dengan pakej-pakej yang murah ni.

Amaran dari Tabung Haji

Tabung Haji, sebagai pihak yang paling arif dalam urusan Haji di Malaysia, dah pun mengeluarkan amaran untuk semua umat Islam agar berhati-hati dengan tawaran Badal Haji yang sangat murah.

Menurut Tabung Haji, pakej Badal Haji yang ditawarkan di bawah RM5000 perlu berhati hati ketika berurusan. Tabung Haji menasihatkan korang untuk memilih pakej dari sumber yang dipercayai dan sahih, kerana risiko untuk ditipu dengan pakej murah ni sangatlah tinggi.

Sijil Badal Haji: Bukti yang sering dipalsukan

Korang mungkin pernah dengar tentang sijil Badal Haji yang kononnya dikeluarkan sebagai bukti bahawa Haji telah dilaksanakan. Tapi hakikatnya, banyak je sijil yang diberikan hanyalah kertas kosong tanpa sebarang nilai. Sijil ni mudah dipalsukan, dan ramai yang terpedaya dengan sijil palsu yang nampak seolah olah menyakinkan.

Korang kena ingat, sijil tu bukan bukti yang muktamad. Apa yang lebih penting ialah memastikan yang orang yang melakukan Badal Haji tu benar-benar melaksanakan ibadah dengan sempurna dan mengikut semua syarat-syarat yang ditetapkan.

Pekerja Indonesia di Mekah

Salah satu taktik yang digunakan oleh penipu ialah dengan menggunakan pekerja Indonesia di Mekah untuk melaksanakan Badal Haji.

Tapi apa yang sering berlaku ialah pekerja ni ditugaskan hanya untuk mengambil gambar di tempat-tempat suci seperti Kaabah atau Arafah, dan kemudian hantar gambar tu kepada korang sebagai “bukti” bahawa Haji telah dilakukan.

Gambar-gambar ni memang nampak meyakinkan, tapi sebenarnya, Haji tu memang tidak pernah dilakukan pun.

Bahaya penipuan Badal Haji: Lebih dari sekadar kerugian wang

Kesan penipuan Badal Haji bukan sekadar korang rugi duit, tapi lebih dari tu, ia melibatkan tanggungjawab agama yang besar.

Bila korang serahkan Badal Haji kepada pihak yang tak bertanggungjawab, niat baik korang untuk menunaikan Haji bagi pihak orang yang korang sayangi mungkin tak tercapai. Ini bukan perkara kecil, sebab ibadah Haji adalah salah satu rukun Islam yang sangat penting.

Badal Haji Murah - Ini yang korang perlu tahu
Photo by Zawawi Rahim

Bagaimana nak elakkan dari ditipu?

Kalau korang serius nak buat Badal Haji, korang kena buat kajian yang mendalam sebelum pilih agen atau individu yang nak korang amanahkan untuk laksanakan ibadah ni.

Pastikan diorang ada lesen yang sah dan diiktiraf oleh pihak berkuasa. Jangan hanya tengok pada harga murah, tapi tengok juga rekod dan testimoni daripada orang yang pernah menggunakan perkhidmatan diorang sebelum ni.

Korang juga boleh rujuk dengan Tabung Haji untuk mendapatkan nasihat atau cadangan agen yang boleh dipercayai.

Kesimpulan: Berhati-hatilah dengan tawaran yang terlalu murah

Badal Haji dibawah RM5000 adalah scam. Jadi mohon berhati hati dengan tawaran Badal Haji yang terlalu murah. Ada yang tawarkan dengan harga RM2500. Inilah harga yang paling tak masuk akal. Jadi mohon berhati hati bila korang ternampak iklan Badal Haji yang macam ni.

badah Haji bukan sekadar perjalanan fizikal, tapi ia melibatkan niat, kesungguhan, dan kejujuran.

Jadi, sebelum korang buat keputusan, fikir masak-masak, kaji betul-betul, dan pastikan korang pilih pakej Badal Haji yang benar-benar boleh dipercayai. Semoga dengan artikel ni, korang dapat elak dari jadi mangsa penipuan yang menggunakan agama sebagai topeng untuk kepentingan peribadi.

Tinggalkan Pendapat Anda